MELAKA, 25 JAN - Pelancaran Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Melaka dilihat dapat memperkukuh Skim Rukun Tetangga (SRT) dalam usaha membendung kegiatan jenayah atau aktiviti tidak sihat dalam satu kawasan komuniti setempat.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata tiada pertindihan bidang tugas atau kuasa antara SRS dan SRT sebaliknya tugas menjaga kemananan dan keselamatan negeri akan dilaksanakan secara lebih efektif dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"SRS akan dapat membantu menurunkan kadar jenayah di negeri ini selain menyemarakkan kerjasama antara PDRM dengan masyarakat setempat dalam usaha menjaga keamanan dan keselamatan penduduk serta kawasan perumahan terlibat.

"Skim ini adalah kemuncak pada agenda keselamatan negeri dan negara apabila setiap perkara berkaitan keselamatan melibatkan masyarakat secara langsung. Usaha ini akan membuatkan penjenayah berfikir beribu kali sebelum hendak melakukan jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan SRS kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di sini malam tadi, yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah.

Sebanyak 175 kumpulan SRS dengan jumlah penyertaan 3,840 orang telah ditubuhkan di tiga daerah di negeri ini iaitu 67 kumpulan SRS dengan 1,340 peserta di daerah Melaka Tengah, 57 kumpulan dengan 1,200 peserta di daerah Alor Gajah dan 51 kumpulan dengan 1,300 peserta di daerah Jasin.

Mengulas lanjut, Idris berkata pelancaran SRS ini juga merupakan satu lagi strategi lautan biru dan semangat kebersamaan menjaga keamanan dan keselamatan negeri serta selaras dengan slogan 'Don't Mess With Melaka'.

Sementara itu, Abd Jalil berkata empat objektif utama pelancaran SRS di negeri ini iailah membantu pihak berkuasa termasuk PDRM dalam membendung kegiatan jenayah dan gejaya sosial di kawasan komuniti setempat; meningkatkan tahap keselamatan, membantu mewujudkan kesejahteraan dan perpaduan dalam sesuatu kawasan Rukun Tetangga dan meningkatkan semangat kejiranan di kawasan komuniti serta membantu menguatkuasakan undang-undang dan memberi perlindungan pada nyawa dan harta bagi mewujudkan penempatan selamat, selesa dan kondusif.

"Pelancaran SRS dilihat dapat mengurangkan 'fear of crime' dalam kalangan masyarakat untuk berada di semua tempat di negeri ini termasuk ketika mengeluarkan duit di mesin pengeluaran wang automatik (ATM)," katanya. - BERNAMA