KUNAK, 25 JAN – Polis Kunak menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Filipina dalam satu serbuan selepas dipercayai terlibat dengan kes dadah di Kampung Kunak Jaya, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata serbuan kira-kira 12.10 tengah malam itu berjaya menahan suspek berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun itu di sebuah pondok di belakang sebuah kilang yang disyaki menjadi tempat pengedaran dan penagihan dadah di kampung tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di pondok berkenaan, polis menemukan satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 5.5 gram dan empat senapang angin (senapang guli),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak untuk siasatan lanjut.- BERNAMA