KUALA TERENGGANU, 25 JAN - Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan 76 penduduk daripada 24 keluarga terpaksa berpindah ke dua pusat pemindahan di Dungun lewat malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Left. Kolonel Che Adam A Rahman berkata di pusat pemindahan Kampung Syukor, seramai 64 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di situ, 12.05 malam tadi.

"Seramai 12 mangsa (empat keluarga) pula ditempatkan di Dewan Orang Ramai Pasir Raja, 11 malam tadi," katanya.

Semalam, pusat pemindahan terakhir di Setiu ditutup setelah banjir fasa keempat pulih sepenuhnya di Terengganu namun cuaca yang masih tidak menentu menyebabkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan rendah sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama. - BERNAMA