KUALA LUMPUR, 24 JAN - Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada semua pengguna lebuh raya itu sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Ketua Pegawai Operasi Lebuh Raya SMART, Sharifah Alauya Wan Othman berkata potongan tersebut akan berkuatkuasa mulai Sabtu ini hingga 6 pagi Ahad.

"Kadar tol yang dikenakan selepas diskaun hanyalah RM2.70 berbanding kadar biasa iaitu RM3 untuk setiap hala masuk dan keluar pusat bandar.

Ia merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat SMART untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengguna lebuh raya boleh melayari laman web SMART di www.smarttunnel.com.my atau laman Facebook SMART Tunnel, Twitter @Smarttunnel atau hubungi talian bebas tol 1300-88-7188 untuk sebarang pertanyaan. - BERNAMA