KUALA LUMPUR 23 JAN - Barisan Nasional (BN) perlu menggandingkan keberkesanan sistem komunikasi konvensional dan baharu sebagai strategi untuk menangkis persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hakikatnya, 'peperangan' kini dikuasai oleh pemikiran dan mana-mana kumpulan yang dapat mengubah minda orang awam akan memenangi peperangan tersebut.

Beliau menarik perhatian bahawa kemenangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam pilihan raya presiden berpunca daripada keupayaan pasukannya mengubah minda pengundi negara itu melalui media baharu.

Ahmad Zahid berkata BN berdepan waktu sukar apabila hampir kecundang dalam dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini kerana gagal mengawal persepsi rakyat.

"Sehubungan itu, jentera BN di semua peringkat perlu bekerja dengan gigih dan mengkolaborasikan media konvensional dan baru untuk mengubah persepsi rakyat ke arah kerajaan," katanya semasa melancarkan Skuad Komunikasi dan Media Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi serta 2,000 anggota skuad.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, berkata dengan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diadakan tidak lama lagi, BN mestilah mengubah keadaan, mengubah saluran, medium dan kaedah komunikasinya.

"Kita mesti berubah dan melangkah ke hadapan...persepsi rakyat mestilah mengarah kepada UMNO dan BN," katanya.

Ahmad Zahid berkata persepsi rakyat terhadap kerajaan kini sangat negatif iaitu pada 87 peratus kerana dipengaruhi oleh media baharu yang rata-rata adalah antikerajaan walaupun pada hakikatnya, kerajaan telah melakukan dengan terbak untuk membangunkan negara.

Kajian menunjukkan hanya 6.6 peratus media baharu di negara ini menyokong kerajaan manakala 93.4 peratus lagi merupakan media baharu antikerajaan.

"Itu adalah pada nisbah 1:15. Saya menyeru bermula hari ini dimulakan dengan Wanita UMNO, kita jangan lagi jadi 6.6 peratus, kita mesti berada di tahap 93.4 peratus agar maklumat sampai ke kumpulan sasar kita," katanya.

Skuad Komunikasi dan Media Wanita UMNO berperanan sebagai serampang dua mata dengan menjadi ejen penyampai maklumat sebenar mengenai dasar kerajaan kepada akar umbi.

Pada masa sama, skuad itu menjadi 'mata dan telinga' kerajaan dalam menyampaikan isu-isu yang dihadapi oleh akar umbi kepada pihak kerajaan. - BERNAMA