IPOH, 16 Jan – Seorang lelaki cedera parah manakala isterinya serta tiga kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah bas persiaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini hari ini.

Pasangan berumur 50-an dan 40-an serta kanak-kanak bawah 12 tahun itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai Rozmi Che Hamat berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.53 pagi tadi.

“Anggota yang berada di tempat kejadian terpaksa menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan lelaki yang tersepit dalam kereta Toyota Hilux itu,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, dua pemandu bas serta enam penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Sumber : BERNAMA