KUALA LUMPUR: Duta Besar Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar Al Agha memuji Kerajaan Malaysia kerana peranan yang dimainkannya dalam resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut Israel menghentikan pembinaan penempatan haram.

Beliau berkata pengundian bersejarah itu boleh menjadi titik penting dalam merintis jalan ke arah mencapai penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin yang berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, sejak sekian lama, Malaysia sentiasa konsisten dalam memberi sokongannya ke arah mencari penyelesaian secara adil dan keamanan berkekalan untuk rakyat Palestin.

"Resolusi itu diluluskan setelah bertahun-tahun ditolak melalui veto di Pertubuhan Bangsa Bersatu dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana peranannya dalam menggesa Israel menghentikan pembinaan penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis sambutan ulang tahun ke-52 Revolusi Palestin dan penubuhan Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) di Kedutaan Palestin di sini pada Rabu.

Pada 23 Dis 2016, Resolusi 2334 diluluskan dengan sokongan 14 daripada 15 anggota UNSC, termasuk Malaysia sebagai anggota tidak tetap, yang menggesa Israel agar segera menghentikan pembinaan penempatan haram di bumi Palestin. Amerika Syarikat, yang mempunyai kuasa veto, tidak mengundi.

Anwar berkata agenda utama pergerakan pembebasan itu sekarang ialah untuk meningkatkan penglibatan bersama secara lebih kerap dengan masyarakat antarabangsa bagi memberi penjelasan tentang nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Menurut beliau, Kerajaan Palestin di bawah kepimpinan Presiden Mahmoud Abbas, sentiasa berkempen mengenai penentangan secara aman dan popular dan menentang sebarang bentuk keganasan."Resolusi itu membuktikan bahawa cara bukan keganasan juga boleh mencapai kejayaan dan kami akan terus menggunakan pendekatan ini dalam perjuangan kami.

Satu-satunya harapan kami ialah kami akan mencapai persetujuan damai dan menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan dalam kalangan semua kumpulan di Palestin, terutama dengan Hamas. Ini penting untuk menjadikan kami bersatu bagi menamatkan pendudukan Israel," katanya.
 
Sumber : BERNAMA