KUALA LUMPUR 8 Sept - Kekalahan skuad negara kepada Indonesia dalam aksi persahabatan di Solo, semalam, disebabkan beberapa pemain sakit perut dan mengalami kekejangan, dakwa ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

“Saya tak pasti lagi, beberapa pemain tidak begitu selesa selepas kita makan tengah hari di mana ada yang sakit perut dan mengalami kekejangan.

“Jadi, saya harus lihat dahulu dan berjumpa dengan doktor untuk memastikan apa masalah pemain ini,” katanya sebagai mengulas kekalahan 3-0 Harimau Malaysia kepada Indonesia di Stadium Manahan.

Tiga gol skuad Garuda itu dijaringkan Boas Salossa pada minit ke-6 dan 21 serta satu lagi gol hasil tendangan kencang Irfan Haarys Bachdim pada minit ke-10.

Prestasi buruk skuad negara turut dikritik Tan Sri Prof Khoo Kay Kim yang membidas pihak pengurusan gagal memberi persediaan kepada pemain kebangsaan sehingga menyebabkan mereka bermain di padang seperti robot dan tidak menggunakan akal.

“Pemain kita main tak pakai otak, mereka main macam robot, hantar bola tak betul, tendang tak betul, semua tak betul, macam mana mereka boleh bermain untuk pasukan kebangsaan?” soal sejarahwan negara yang juga merupakan pengkritik sukan.

Sementara itu, Ong berkata, kurang keserasian antara pemain dalam skuad kebangsaan juga adalah punca kekalahan Malaysia, selain kesilapan benteng pertahanan yang menyebabkan gawang negara mudah dibolosi lawan pada awal permainan.

“Untuk pasukan Malaysia, belum ada keserasian lagi. Ini pasukan yang baharu, di mana saya buat 14 pertukaran daripada pasukan lepas dan ini memerlukan masa cukup panjang. Tapi, seperti yang saya katakan, gol pertama dan kedua tidak harus berlaku,” katanya.

Beliau turut menyalahkan beberapa pemain kebangsaan yang memutuskan untuk bersara daripada skuad negara sebagai punca kekalahan Harimau Malaysia.

“Secara jujur, pemain yang sudah bersara dan beberapa pemain yang cedera merupakan nadi pasukan kita.

“Jika mereka kembali, sudah tentu akan lebih baik kepada pasukan kita. Tapi pada masa sama, saya perlu memikirkan pemain sedia ada, di mana saya tak boleh mengharapkan pemain yang sudah bersara untuk kembali,” katanya.

Ketua Pasukan Harimau Malaysia, Safiq Rahim dan rakan sepasukan, Aidil Zafuan Abdul Radzak mengumumkan persaraan daripada skuad bola sepak kebangsaan, pada 12 Julai lalu, dengan alasan mahu memberi laluan kepada pemain muda.

Dua hari kemudian, pemain senior S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal turut mengumumkan persaraan mereka dengan alasan sama.