ALOR SETAR 27 Sept - Umno Kedah tidak gentar sekiranya bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertanding di negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Mukhriz, yang kini naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berhak bertanding di mana-mana kerusi seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dan Parlimen Jerlun yang pernah disandangnya.

“Mungkin Mukhriz mahu bertanding di Kubang Pasu yang pernah disandang bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita alu-alukan dan kita tidak gentar untuk berhadapan dengan parti itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 Peringkat Kedah semalam.

Ahmad Bashah yang juga menteri besar Kedah mengulas laporan media mengenai kenyataan Mukhriz yang mahu mengetuai PPBM di Kedah dan seterusnya bertanding dalam PRU ke-14 di negeri kelahirannya itu.

Ditanya mengenai sokongan kepada PPBM, Ahmad Bashah berkata mereka yang menyokong parti pembangkang itu adalah yang kecewa kerana tidak mendapat sebarang jawatan dalam parti di peringkat cawangan.

“Parti itu (PPBM) hanya disokong oleh mereka yang kecewa dengan Umno sama seperti pemimpinnya yang kecewa dengan Umno. Sekarang mereka yang kecewa itu ada peluang untuk mendapat jawatan,” katanya.

Ahmad Bashah berkata perkara itu tidak menggugat kedudukan Umno kerana parti berusia 70 tahun itu menabur bakti kepada rakyat dan mereka mampu menilai perjuangan yang dilakukannya.