Sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa suka membuat keputusan bersendirian mula tidak disenangi ahli dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru 3 minggu didaftarkan, menurut sumber dalaman.

Memetik sumber FMT,  ramai ahli menuduh presiden PPBM itu menganggap parti itu milik persendiriannya.

Mereka juga kecewa bekas timbalan perdana menteri itu yang tidak mahu berbincang dengan beberapa pemimpin utama, termasuk bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di samping sikapnya mengenepikan “orang Mahathir”.

Sumber tersebut berkata kedua-dua Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz semakin tidak berpuas hati dengan cara Muhyiddin yang tidak berbincang dengan mereka sebelum melantik beberapa penjawat parti.

“Muhyiddin mahu mengawal parti itu keseluruhannya,” katanya.

“Beliau mengenepikan semua penyokong Mahathir dalam parti.”

Sebelum ini, ketua sayap wanita PPBM, Anina Saadudin menepis dakwaan parti baharu itu lesu dengan tidak ada kegiataan rancak menambah bilangan ahli, selepas didaftarkan awal bulan ini.

Sumber juga mendakwa Muhyiddin kelihatan masih berfikiran seperti Umno dan belum berubah, malah tidak selesa berdampingan dengan pembangkang, khususnya DAP.