KUALA LUMPUR 19 Sept - Satu pertemuan di antara pimpinan tertinggi PAS dengan Persekutuan Persatuan Hokkien semalam mengenai isu rang undang-undang (RUU) memberikan kuasa lebih kepada mahkamah syariah berakhir dengan tiada kesepakatan.

Malah, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan melahirkan kekecewaan dengan mendakwa wakil Hokkien itu tidak mengambil kesempatan sepenuhnya memahami RUU yang bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah 1965, atau Akta 355.

“Mereka tidak membuka ruang dialog dan tiada sebarang pertanyaan diajukan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang presiden PAS memberi penerangan dengan bahasa yang sangat mudah dan terus kepada subjek perbincangan secara jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini, selepas pertemuan yang turut dihadiri presiden Persatuan Hokkien, Datuk Khoo Chai Kaa.

PAS yang diketuai Hadi turut diwakili Bendahari Mohamad Noor Mohamad, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dr Najihatus Solehah dan Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan.

Selepas sesi itu, Khoo dilaporkan tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan dan akan meneruskan bantahan terhadap usaha PAS.

Pertubuhan mewakili rakyat Malaysia berketurunan Hokkien itu sebelum ini menyasarkan sejuta tanda tangan dalam kempen membantah RUU yang dikemukakan Hadi di Dewan Rakyat pada Mei lalu.

Bagaimanapun, Nasrudin berkata pihaknya bersedia untuk terus memberikan “penerangan”.

“Selagi tidak faham maka marilah berbincang dan berdialog. Janganlah bertindak dan membuat penentangan terhadap Islam mahupun pindaan Akta 355 tanpa memahami apakah kedudukannya yang sebenar kerana ia merendahkan moral dan peribadi,” katanya, yang menambah PAS akan selanjutnya bertemu dengan wartawan mewakili akhbar dan media baharu termasuk berbahasa Cina dan Tamil.

RUU dibentangkan Hadi itu dijangka didebatkan pada sesi Parlimen akan datang.

Ia antara lain membolehkan hakim mahkamah syariah menjatuhkan hukuman melebihi apa yang dihadkan sebelumnya iaitu penjara 3 tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan 6 sebatan, dalam apa yang dilihat sebagai usaha awal kerajaan PAS di Kelantan melaksanakan hukum hudud.