IPOH 27 Sept - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pendukung amanah wajib diserahkan kepada mereka yang ahli dalam bidangnya, menghormati hukum dan melaksanakan hukum secara adil.

Titah baginda, tugas dan tanggungjawab itu wajib disempurnakan secara berhemah, terutama dalam kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan kuasa.

"Perbuatan pegawai penguat kuasa memperlihatkan kuasa sehingga meminggirkan adab, tertib dan sopan, bukanlah budaya yang dianjurkan oleh Islam.

"Tindakan secara kasar dan keras yang merendah-rendah dan memperkecilkan hingga mengakibatkan orang berasa terhina, dizalimi dan diaibkan, baik secara lisan apatah lagi secara perbuatan, tidak harus berlaku dan tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pegawai penguat kuasa agama," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Logo dan Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Sultan Perak juga mahu pegawai penguat kuasa agama berada di barisan hadapan dan terdedah kepada penilaian umum.

Titah baginda, keindahan Islam itu wajib dicerminkan dengan sifat berhemah ketika memenuhi tugas dan melaksanakan operasi dengan mengamalkan pendekatan berdakwah, menyeru ke jalan kebaikan, memanggil pihak yang melakukan kesilapan untuk nasihat secara tertutup serta mengatur sesi bimbingan dan kaunseling.

"Modus operandi kakitangan penguat kuasa jabatan agama Islam hendaklah berpandukan pendekatan preventif (mencegah) dan bukannya pendekatan punitif (mendera)," titah baginda.