HEMPSTEAD 27 Okt - Puluhan juta pengundi Amerika Syarikat dan dunia menyaksikan sesi debat agresif lagi panas antara Hillary Clinton dan Donald Trump dalam perebutan kerusi presiden AS apabila kedua calon saling melempar tuduhan dan penghinaan.

Dua pesaing Rumah Putih itu berkempen bermati-matian menjelang pilihan raya enam minggu lagi dengan Clinton menggelar pesaing Republikan itu ketinggalan dan tersimpang jauh daripada kebenaran, hingga sanggup mengatakan perkara yang gila hanya untuk dipilih.

"Anda hidup dalam realiti anda sendiri," kata ahli Demokrat berusia 68 tahun itu sambil menuduh Trump melancarkan kerjaya politiknya berteraskan pembohongan perkauman, termasuk teori konspirasi "birther" yang mempersoalkan kewarganegaraan Presiden Barack Obama.

Ahli perniagaan popular, Trump pula menggelar Clinton sebagai seorang ahli politik biasa yang cakap tak serupa bikin.

Ketika berdebat mengenai isu ekonomi, Trump menyalahkan Clinton dan kalangan politik sebagai penyebab AS kehilangan pekerjaan kepada Mexico dan China melalui perjanjian perdagangan yang tidak baik.

Kedua-dua calon menutup perdebatan presiden pertama itu dengan mengatakan mereka akan menerima keputusan sekiranya kemenangan berpihak kepada calon lain. - AFP