MAKKAH 19 Sept - Seramai 105,344 jemaah haji mula beransur meninggalkan kota Makkah sejak Sabtu lalu menerusi udara, laut dan darat selepas melaksanakan ibadat haji dalam suasana tenang, selamat dan selesa.

Ketua Hal Ehwal Haji dan Umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz (KAIA), Khaled Al-Harbe, berkata 40,000 jemaah haji mula berlepas ke destinasi masing-masing pada Sabtu menerusi 210 penerbangan yang dijadualkan dan juga tambahan.

Beliau berkata, penerbangan pulang pertama haji disempurnakan oleh Pakistan Air Blue membawa 280 jemaah.

"Sebanyak 4,000 penerbangan dijangka berlepas dari KAIA untuk membawa lebih daripada 750,000 jemaah haji hingga 15 Oktober, tarikh yang ditetapkan untuk penerbangan haji terakhir dari kerajaan ini," katanya.

Harbe berkata, penumpang yang datang ke terminal haji lapan jam sebelum masa penerbangan akan dibenarkan masuk ke ruang rehat, mereka yang datang 12 jam sebelum akan diarahkan untuk berada di plaza luar manakala mereka yang tiba di terminal lebih daripada 12 jam tidak akan dibenarkan masuk dan syarikat haji mereka akan bertanggungjawab menguruskan penginapan dan makanan.

Seramai lebih 1.8 juta jemaah menunaikan haji tahun ini termasuk 1.325 juta yang datang dari luar dan 537,537 domestik. - Agensi