KUALA LUMPUR 8 Ogos - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam bertindak memecat ketua jurulatihnya Zainal Abidin Hassan, selepas prestasi lemah pasukan itu dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Penolong ketua jurulatih K. Gunalan akan menggantikan tempat beliau, menurut laporan Astro Awani.

Pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari berkata keputusan itu selaras dengan arahan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melakukan rombakan dalam pasukan Selangor, yang akan diumumkan hari ini.

Sabtu lalu, Selangor tewas 0-1 kepada Kedah di Stadium Darul Aman.

Zainal mengakui pemainnya menerima tekanan selepas deretan kekalahan.

“Memang tidak dinafikan sebagai pemain bola sepak, apabila sampai keadaan sebegini, mereka agak tertekan. Itu yang saya beritahu kepada pemain, selagi merek tertekan, mereka takkan dapat bermain dengan normal,” katanya.

Zainal dilantik ketua jurulatih Selangor pada Disember 2015.