RIO DE JANEIRO 2 Ogos - Pemain lawan pedang Ibtihaj Muhammad bakal menjadi atlet wanita berhijab pertama mewakili Amerika Syarikat dalam Sukan Olimpik akan datang.

Dia melayakkan diri dalam sukan itu mewakili negaranya selepas memenangi beberapa acara pedang bertaraf antarabanga termasuk di Kejohanan Lawan Pedang Piala Dunia di Greece awal tahun ini.

Ibtihaj, wanita Muslim Afrika-Amerika berusia 30 tahun juga mahu memecahkan ketaksuban terhadap agamanya yang sedang memuncak lebih-lebih lagi di sepanjang kempen pilihanraya Presiden Amerika Syarikat oleh calon Republikan, Donald Trump yang mencetuskan sentimen anti-Islam.

“Suasana diskriminasi terlalu biasa untuk saya, sejak zaman kanak-kanak lagi. Warna kulit dan hijab sering menjadi tumpuan untuk sebab yang salah,” katanya, lapor AFP.

“Suatu hari saya dan ibu melalui sebuah sekolah. Kami melihat latihan lawan pedang dari tingkap kereta. Pemainnya memakai seluar panjang dan baju yang menutup badan, ketika itu saya tidak tahu mengenai sukan itu. Ibu mahu saya menyertainya kerana ia seiring dengan kepercayaan agama saya,” kata Ibtihaj.

Walaupun kurang yakin dengan kebolehannya, Ibtihaj percaya ia boleh menjadi pasport untuknya melanjutkan pelajaran di kolej.

Ibtihaj, pelajar Universiti Duke dengan ijazah dalam bidang Hubungan Antarabangsa dan Pengajian Afrika berharap penyertaannya dalam Olimpik mampu memainkan peranan terhadap sikap anti-Islam yang wujud sepanjang kempen pilihan raya Amerika Syarikat.

“Umat Islam di bawah mikroskop dan saya berharap dapat menukar pandangan orang terhadap wanita Islam.

“Saya tahu wanita Islam sangat, sangat berbakat, terutamanya di sini di Amerika Syarikat. Kami datang dalam pelbagai rupa, warna, saiz serta latar belakang sekali gus menjadi ahli masyarakat yang produktif. Saya mahu orang ramai untuk melihat kebenaran itu,” katanya.

Baru-baru ini Trump mencetuskan sentimen anti-Islam selepas mahu umat Islam dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat.

Ibtihaj juga enggan mengulas tentang masa depan umat Islam di AS “jika” Trump dipilih ke Rumah Putih pada bulan November kelak.

Katanya, dia membenci perkataan “jika” dan berharap dapat mengubah pandangan orang terhadap Islam.

Dalam pada itu, Ibtihaj juga disoal tentang beberapa kejadian melibatkan orang Islam yang dihalang daripada menaiki kapal terbang.

“Ya, saya risau akan alami nasib yang sama semasa pusingan kelayakan untuk Rio. Saya tertanya-tanya jika seorang Islam seperti saya akan dibenarkan menaiki pesawat untuk menyertai pusingan kelayakan Olimpik?” katanya.

Ibtihaj akui dia sering diasak untuk bercakap mengenai isu-isu berat berkaitan bangsa, agama serta jantinannya dan bukan tentang sukan yang disertainya sekali gus meletakkan dia dalam perhatian.

“Saya berjuang untuk hak saya dan bersyukur diberi platform ini. Saya amat terhutang budi kepada mereka yang pernah berjuang menentang dan memecahkan ketaksuban serta diskriminasi,” katanya.

“Saya tahu, masih ada rakyat Amerika sekarang yang masih rasa tidak selamat untuk ke tempat kerja setiap hari dan takut untuk berada dalam komuniti mereka.

“Saya masih ingat, pada zaman kanak-kanak dahulu ramai yang memberitahu saya bahawa ia bukan sukan untuk saya. Ia kerana warna kulit dan agama saya sebagai Muslim.

“Tetapi hari ini saya percaya saya amat bertuah kerana menjadi contoh untuk kaum minoriti lain yang pernah ditindas, untuk mencapai apa yang diusahakan,” katanya.