GEORGETOWN 2 Ogos - Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan merusuh selepas perlawanan bola sepak Liga Super di antara Pulau Pinang dan Kedah di Stadium Bandaraya, Selasa lalu.

Ruzairi Abd Rahman, 31; Muhammad Fizry Shukor, 21; Samsuri Aman Rusli Aman, 35, dan Muhammad Hafiz Abdullah, 24, didakwa di hadapan Majistret L Umma Devi, mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Empat penyokong pasukan Pulau Pinang itu didakwa bersama beberapa orang lagi yang masih bebas, merusuh terhadap penyokong pasukan Kedah di Stadium Bandaraya dan Jalan Datuk Keramat di sini, kira-kira 11.30 malam, 26 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee, manakala Ruzairi, Samsuri dan Muhammad Hafiz diwakili peguam, Mohd Izad Mohd Zambri. Muhammad Fizry pula diwakili peguam, R Sankara Krishna.

Umma Devi menetapkan 26 September ini untuk sebutan semula kes serta membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,300.