RIO DE JANEIRO 1 Ogos - Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mengakui berasa tertekan dalam penyertaannya yang terakhir dalam Olimpik bagi menggapai pingat emas di Olimpik Rio 2016 yang akan berlangsung bulan ini.

Chong Wei pada dua perlawanan dalam Olimpik sebelum ini tewas di peringkat akhir kepada musuh tradisi Lin Dan dari China. Pada usia 33 tahun, Chong Wei tahu Rio akan menjadi peluang terakhirnya untuk mendapatkan emas.

“Saya rasa lebih tertekan kerana selepas empat tahun akan datang saya tidak fikir saya akan ada peluang lagi, jadi ini yang terakhir,” katanya di Rio.

Chong Wei tidak pernah memenangi gelaran Olimpik, terpaksa berusaha keras menaiki kembali ke rangking tertinggi selepas digantung susulan ujian doping terhadapnya tahun lalu.

Beliau dijangka bertemu Lin Dan dalam peringkat separuh akhir di Rio, di mana pemain badminton nombor dua China Chen Long akan turut bermain.

Chong Wei mempunyai banyak lagi masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Rio, kerana acara badminton di Rio akan hanya bermula pada 11 Ogos.

Olimpik Rio 2016 akan berlangsung pada 5 Ogos ini dan berakhir 21 Ogos.