KUALA LUMPUR 16 Ogos - Mahkamah di Putrajaya dan Melaka hari ini mereman seorang bergelar “Datuk Seri” dan seorang lagi “Datuk”, kedua-dua mereka pegawai tinggi kerajaan, bagi membantu siasatan rasuah.

Bernama melaporkan “Datuk Seri” berkenaan merupakan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), direman 7 hari di Putrajaya bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Manakala di Melaka, seorang “Datuk” berusia 56 tahun direman 7 hari oleh Mahkamah Majistret bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah.

Kedua-dua mereka merupakan antara tiga penjawat awam ditahan SPRM di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan semalam atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata mereka ditahan dalam operasi serentak pada 12.00 tengah hari dan 2.00 petang semalam.

Akaun bank milik mereka melebihi RM13 juta turut dibekukan, di samping menyita kondominium mewah seperti penthouse dan banglo, dan kenderaan Maserati, BMW dan Audi.

SPRM turut merampas RM400,000 tunai termasuk mata wang asing dan beberapa jam tangan mewah