KUALA TERENGGANU 5 Ogos - Polis Terengganu tidak akan melindungi mana-mana individu termasuk ahli politik dipercayai terlibat dalam gerakan ‘Gelombang Kuning’ yang cuba mengganggu pentadbiran kerajaan sedia ada di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata kain rentang berwarna kuning dengan tulisan ‘Gelombang Kuning’ itu mula dikesan kira-kira 10 hari lepas di beberapa daerah di negeri ini.

Pihaknya percaya kain rentang yang dinaikkan itu cuba mengaitkan pihak istana serta menunjukkan protes terhadap kepimpinan kerajaan negeri ketika ini.

“Mereka mempamerkan kain rentang di tempat awam antaranya kawasan rekreasi dan kawasan bulatan Batu Bersurat dengan menggunakan warna kuning seperti mendapat restu daripada pihak istana.

Saya ingin tegaskan pihak istana tidak terlibat langsung dalam gerakan ini dan pihak yang tidak bertanggungjawab ini cuba mempengaruhi dan mengelirukan orang ramai dengan penglibatan pihak istana,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya sebanyak sembilan laporan polis telah diterima, enam di Kuala Terengganu, masing-masing satu laporan di Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Katanya daripada jumlah laporan itu salah satu dibuat oleh Setiausaha Sulit Sultan Terengganu dan hasil siasatan pihaknya mendapati terdapat unsur hasutan pada kain rentang yang dinaikkan itu dengan menggunakan warna kuning diraja.

Rosli berkata siasatan terperinci sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti individu serta kumpulan di sebalik gerakan gelombang kuning itu dan hasil maklumat, pihaknya tidak menolak kemungkinan ianya didalangi oleh segelintir ahli-ahli politik namun tidak pasti sama ada ahli politik yang pro pada Barisan Nasional atau sebaliknya.

“Kita tidak akan berkrompromi dengan mana-mana individu dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terlibat tanpa mengira pangkat dan parti politik,” katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya gerakan ini cuba membuat provokasi sempena persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan pada Isnin ini malah cuba membawa perpecahan kaum serta ketidaktenteraman kepada orang awam.

“Jadi saya menyeru kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan gerakan gelombang kuning ini kerana menyalahi di bawah Akta Hasutan dan jangan mempercayai terdapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu dan jangan cuba mengaibkan istana di dalam gerakan ini.

Kita bukan nak hadkan hak bersuara tetapi janganlah cuba mengaitkan pihak istana dengan mana-mana gerakan itu yang penting kita tidak mahu ianya menjadi keresahan kepada rakyat jelata,”katanya.

Justeru pihaknya turut meminta pemimpin politik dan orang ramai yang mengetahui berhubung gerakan ini tampil menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan dan setakat ini kesemua pengadu telah dipanggil dan telah direkodkan percakapan mereka.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan memberi amaran akan menangkap sesiapa jika pihaknya mengesan terdapat individu menyimpan sepanduk gelombang kuning ini dan tangkapan akan dilakukan tanpa memilih bulu.