KUALA LUMPUR 24 Ogos - Hubungan politik antara Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) kini kian bertambah baik selepas setahun penubuhan parti itu.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, pihaknya percaya selepas hampir setahun penubuhan parti itu, penglibatan Amanah dalam kancah politik tanah air semakin diterima Pas.

"Hubungan sudah biasa, adalah sikit-sikit kawan dalam Pas sudah banyak sangat sebelum ini, lepaskan tembakan senapang angin. Nampaknya kini mereka perlahanlah sikit.

"Saya rasa Insya-ALLAH kita harus jadi parti politik yang betul-betul sivil.

"Saya harap makin baik, kita manusia harus positif, tiadalah sampai hari kiamat, tidak boleh berbaik, saya rasa itu negatif, saya percaya mudah-mudahan hubungan ini boleh di perbaiki dari masa ke masa, kita hormat mereka (Pas) sebagai sebuah parti politik yang sudah lama iaitu 60 tahun lebih bertapak dalam arena politik negara," katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat Amanah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya walaupun Amanah baru memasuki usia setahun jagung, beliau percaya Amanah mampu berdiri bersama parti-parti arus perdana yang lain.

"Kami walaupun baru setahun... tetap merupakan sebuah parti politik yang tersendiri dan unik kerana kita boleh bekerjasama dengan parti politik lain di negara ini, selagi mana ia untuk kebaikan dan menentang kemungkaran," katanya.

Sementara itu ketika menceritakan mengenai pencapaian terbaik Amanah genap setahun penubuhannya, ‎Anuar berkata, kepelbagaian kaum yang mendasari perjuangan parti itu merupakan pencapaian terbaik Amanah.

‎"‎Secara rasminya menunjukan parti Islam boleh disertai oleh bukan Islam, ahli kami bukan Islam berada dalam kepimpinan nasional mainkan peranan yang sama dengan muslim," katanya.

Parti Amanah ditubuhkan 16 September 2015, selepas kumpulan progesif kalah dalam pemilihan parti ketika Muktamar Pas tahun lepas.