PUTRAJAYA 18 Ogos - Ahli Umno yang menyokong perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disaran meninggalkan Umno dengan segera.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cara itu akan memudahkan Umno ‘menyingkirkan’ musuh dalam selimut.

“Kalau ada ahli yang tak setia dengan Umno, lebih baik keluar. Kita tak perlu ada musuh dalam parti.

“Lebih senang jika kita berhadapan musuh di luar berbanding musuh dalam selimut. Eloklah kalau mereka menyertai parti itu (Bersatu),” katanya dalam sidang media selepas majlis ramah mesra bersama 12 pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyarankan ahli Umno yang menyokong Bersatu tetapi tidak boleh keluar parti supaya kekal dalam Umno dan menjadi 'pengintip' untuk Bersatu.

Sementara itu, mengulas pembentukan blok pembangkang baharu iaitu Gagasan Sejahtera (Gagasan) yang dianggotai Pas dan Parti Ikatan Malaysia (Ikatan), Ismail Sabri berkata, ia hanya akan memberi kelebihan kepada BN dan Umno.

“Baguslah, lagi banyak (pembangkang) lagi bagus. Sebenarnya kita tidak perlu fikir sama ada orang lain (pembangkang) berpecah atau tidak.

“Apa yang penting, Umno perlu bersatu dan kuatkan parti. Selain itu, parti-parti komponen dalam BN juga kena kukuhkan kerjasama sesama sendiri,” katanya.