KUALA LUMPUR 18 Ogos - Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh dilantik sebagai ketua pembangkang di Parlimen jika parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) komited dengan agenda reformasi.

Nurul berkata Pakatan Harapan sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak selagi mereka menghormati syarat utama iaitu untuk mewujudkan timbang tara di Malaysia.

“Jika mereka tidak komited dengan reformasi, maka kita akan menukar pimpinan secara nama daripada seorang individu kepada individu lain. Ini isu kerjasama, ia bergantung kepada jumlah kerusi dimenangi, itu normal.

“Kita kena ingat semasa DAP memenangi kerusi yang banyak majoriti pun, mereka mencadangkan jawatan ketua pembangkang dipegang Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dipetik daripada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata perkara itu terlalu awal untuk dibincangkan memandangkan Bersatu baru saja didaftarkan.

“Pada saya, ia terlalu awal untuk diberitahu, parti Bersatu baru didaftarkan, yang penting wujudkan momentum dan buat kerja,” katanya.

Pada masa sama, Izzah turut memberitahu bapanya tidak mahu jika ahli keluarga terlalu bimbang dengan keadaannya di penjara, susulan pada masa ini ramai ahli Parlimen pembangkang berdepan dengan tuduhan.

“Katanya, jika kita memusuhi sesiapa biarlah secara berdebat, berbahas, berdiskusi secara ilmiah untuk menghasilkan dasar yang terbaik buat negara.

“Beliau (Anwar) juga sentiasa mengingatkan agar kita tidak hanya menumpukan kepada satu isu saja. Dulukan isu rasuah, kronisme. Itu yang menyebabkan skandal 1MDB berlaku,” katanya.