KUALA LUMPUR 11 Ogos - Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menjangkakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan kesukaran untuk bertapak kukuh di negara ini.

Ini kerana keahlian parti tersebut yang hanya terbuka kepada golongan bumiputera sementara golongan bukan bumiputera hanya boleh mendaftar sebagai ahli bersekutu.

Jelas Tengku Razaleigh, ia mungkin akan menyukarkan parti baru anjuran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu untuk mendapat sokongan menyeluruh rakyat Malaysia memandangkan hak mengundi atau bertanding mana-mana jawatan dalam parti tidak diberikan kepada ahli bersekutu.

"Lebih-lebih lagi golongan muda sekarang yang lebih terdedah selain berilmu, berpendidikan dan lebih terbuka daripada pemikiran cara lama.

"Jadi bila ahli bersekutu tidak boleh menentu arah tuju parti, nampak susah untuk tarik mereka bersama," katanya selepas melancarkan Pameran Warisan Budaya Artifak Melayu dan China di Muzium Kesenian Asia, Universiti Malaya hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata penubuhan Bersatu berbeza dengan Semangat 46 sebagai platform untuk mengelak ahli UMNO lama tidak menyertai parti lain setelah UMNO lama diharamkan dan tidak dibenar menyertai UMNO baharu yang juga ditubuhkan Dr Mahathir.

Pada masa sama, Semangat 46 mempunyai asas kuat untuk membentuk organisasi yang menyakinkan serta menubuhkan bahagian dan cawangan

Sementara parti Bersatu kata Tengku Razaleigh, perlu bermula dari sifar dan nyata lebih sukar, ditambah senario semasa pembangkang yang gagal menambat hati rakyat kerana sering bertelagah dan berpecah.

Begitupun, beliau percaya pengaruh dan kedudukan Dr Mahathir mampu menjadi faktor penarik orang ramai untuk menyertai parti itu.

Namun tegasnya, pihak kerajaan juga akan menggunakan segala kemampuan yang dimiliki untuk menyekat rakyat daripada bersama pihak pembangkang.

Tengku Razaleigh pada masa sama menyatakan kesetiaannya kepada UMNO, menafikan mendapat sebarang tawaran menyertai parti itu.

"Saya tak nampak apa silapnya (menjadi ahli UMNO). Kalau saya lihat ada kesilapan, saya akan ajukan cadangan dan idea dari dalam parti.

"Namun, ia juga tidak bermakna saya menerima segalanya yang berlaku dalam parti", maklumnya.