KUALA LIPIS 9 Ogos - Kedudukan Umno tidak akan tergugat dengan penubuhan parti politik baharu dan yakin rakyat terus menyokong parti keramat berkenaan.

Demikian kata Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob ketika mengulas tentang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhasrat menubuhkan parti baharu dan akan menjadi sebahagian komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi BN pada PRU14.

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti baharu dan sejarah menunjukkan parti berkenaan sukar mendapat tempat di hati rakyat.

“Tapi kita tidak tahu kali ini kerana parti baharu itu ditunjangi nama-nama besar seperti Tun Mahathir sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Jadi kita tidak boleh jangkakan ia (parti baharu) punya kekuatan. Apa pun kita ucapkan selamat datang ke gelanggang politik.

“Parti yang baik akan dapat sokongan rakyat...pepatah orang putih ada kata ‘tidak akan meninggalkan kapal’, maknanya saya yakin orang Melayu tidak akan meninggalkan kapal mereka, iaitu Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Lipis di Bangunan Umno Lipis di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang berkata, sebagai parti keramat dan bertapak lama di Malaysia, Umno akan teruskan agenda mendekati rakyat.

“Apa juga cabaran yang datang, kita akan terus harungi tapi yang penting usaha mendekati rakyat terus dilakukan. Kita jangan mengata orang lain. Pilihan raya sudah dekat, jadi ambil tahu masalah rakyat,” katanya.