KUALA LUMPUR 8 Ogos - Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu Wan Salmiah Wan Abd Ghani memohon maaf berhubung video tarian gelek pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Puteri UMNO bahagian itu yang viral pada Sabtu.

Menurut Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Puteri UMNO Kelantan Marshela Ali menyifatkan tindakan memohon maaf itu menunjukkan Wan Salmiah berjiwa besar dengan mengakui kesilapan dan menerima teguran.

Jumaat lalu, tarian gelek tersebut dipersembahkan di hadapan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Rahman, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Fatmi Che Salleh dan Ketua Wanita Bahagian Kota Bharu, Madihah Abdul Aziz.

Dalam video yang tersebar di media sosial, kelihatan empat wanita bertudung lengkap dengan hiasan pinggul ala penari Arab menari penuh lenggok sambil diperhati oleh hadirin:

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkongsi gambar di laman Facebook rasminya yang memaparkan persembahan silat semasa perasmian Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Pasir Puteh pada Jumaat.

“Tidak salah kalau ada elemen untuk perkenal budaya warisan kita seperti zapin, ghazal, caklempong, berpantun, silat dan sebagainya (bukannya tarian gelek) agar tidak dilupa oleh orang muda,” pesan Ermieyati dalam kiriman Facebook itu