KUALA TERENGGANU 3 Ogos - "Saya rasa tak ada apa-apa, itu hanya pandangan peribadi beliau dan kita hormat," kata Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman ketika merujuk kenyataan seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mempertikaikan kepemimpinan dan pentadbirannya.

Katanya, beliau tidak menganggap perkara itu suatu masalah, sebaliknya melihat suasana politik Terengganu hari ini amat stabil.

"Insya-Allah kita akan teruskan dengan pentadbiran ini. Yang mustahak sekarang, saya perlu bergerak ke depan kerana yang penting adalah perkhidmatan untuk rakyat. Tidak ada apa-apa isu dalam perkara ini," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia negeri, Ghazali Taib yang mempersoalkan kewibawaan kepemimpinannya secara terbuka, semalam.

BH hari ini melaporkan Ghazali meminta pimpinan tertinggi UMNO mengambil pendekatan dan tindakan segera menyelesaikan kemelut pentadbiran negeri yang didakwanya gagal berfungsi sehingga memberi kesan kepada rakyat.

Ditanya sama ada akan ada tindakan terhadap Ghazali, Ahmad Razif berkata beliau tidak melihat kenyataan itu sebagai suatu masalah.

"Tidak ada (tindakan). Kalau ada apa-apa saya pulang kepada pihak lain, tetapi daripada kita, tidak ada masalah kerana kita menghormati pandangan peribadi beliau. Kita akan lihat apa yang perlu dibuat dan sebarang keputusan adalah keputusan bersama," katanya.

Ahmad Razif berkata, Ghazali tidak pernah berjumpa dengannya secara persendirian untuk membincangkan isu terbabit.