PUTRAJAYA 3 Ogos - “Biarlah kita dikecam dan digelar macai Umno, takpelah… kita tetap menyatakan kebersamaan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak,” kata Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Beliau ketika berucap pada Perasmian Serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Putrajaya 2016 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, di sini malam tadi berkata, kini adalah masa untuk ahli Umno menunjukkan perpaduan.

Ahli Umno katanya, perlu berani berdepan dengan keadaan mencabar termasuk bangkit mempertahankan parti keramat itu selepas beberapa nama besar mengumumkan keluar parti baru-baru ini.

“Kita tahu yang keluar parti bukan nama-nama kecil dalam sejarah politik tanah air, mereka ini termasuk timbalan presiden, naib presiden, bekas menteri besar dan juga bekas presiden parti.

“Mereka kata akan tentang Umno habis-habisan dengan menubuhkan parti baru untuk menarik sokongan supaya bersama dengan pejuangan pembangkang. Ini cabaran langsung kita, jadi kita kena bangkit berdepan dengan orang besar yang hendak memusnahkan pejuangan Umno ini,” katanya.

Khairy berkata, beliau percaya yang keramat adalah parti bukannya individu, apabila individu dinyatakan keluar daripada Umno, orang Melayu tidak mungkin bersama mereka walaupun beliau yakin pelbagai cara dibuat pihak itu untuk mendapat sokongan Melayu.

Mengambil contoh sejarah, tindakan pengasas parti Umno yang didakwa keluar dari parti serta menubuhkan parti lain, pemimpin itu katanya tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu.

“Kita sayang pemimpin… tetapi apabila pemimpin memisahkan diri daripada parti keramat ini, maka tidak ada tempat bagi mereka dalam pejuangan Melayu.

“Kita kena ingatkan rakyat bahawa hanya Umno yang menegakkan syiar agama Islam dan memperjuangkan hak serta memajukan bangsa selama 70 tahun,” katanya yang menggesa pemimpin atasan dan akar umbi menawan kembali hati rakyat terutama yang tinggal di bandar.

Beliau sebelum itu meminta ahli Umno mempunyai ‘winning mentality’ dan memberi keyakinan kepada orang ramai namun bukan terlampau yakin.

Khairy yakin sekiranya perkhidmatan terbaik diberi, Umno sekali lagi mendapat mandat daripada rakyat.

Dalam pada itu Khairy meminta orang Umno terutama ketua cawangan supaya tidak mengiyakan apa yang diperkatakan orang lain selagi dakwaan belum diputuskan betul oleh mahkamah.

“Ahli Umno juga perlu yakin kita boleh menang dalam pilihanraya akan datang, jangan cakap dengan orang lain kita susah nak menang macam tak ada keyakinan diri.

“Orang luar bukan ahli Umno mereka akan bawa cerita dakwa ketua cawangan pun kata tak boleh menang dan guna sentimen orang Umno tidak yakin dengan kemenangan untuk galak rakyat tak perlu beri sokongan kepada parti,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, bahagian lain boleh mencontohi Putrajaya yang menjadi antara Parlimen berjaya menaikkan jumlah majoriti pada PRU-13 ketika kawasan lain menunjukkan penurunan jumlah undi majoriti.