KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sebanyak 31 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat 8 pagi ini dengan bacaan tertinggi direkodkan di Pelabuhan Klang iaitu 88.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), antara kawasan yang turut mencatatkan IPU sederhana ialah Shah Alam dengan bacaan IPU 84, Banting (80), Kuala Selangor (77) dan Putrajaya (76).

Ia diikuti Petaling Jaya (74), Indera Mahkota, Kuantan (73), Nilai, Batu Muda dan Cheras (masing-masing 71) dan Kuching (70).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, berbahaya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata keadaan itu dipengaruhi jerebu merentas sempadan berikutan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera tengah yang dibawa angin Monsun Barat Daya.

Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang berpusat di Singapura pada Isnin, bilangan titik panas yang dikesan di Indonesia terus meningkat sejak beberapa hari lalu, iaitu sebanyak 48 titik panas dikesan di Sumatera dan 49 di Kalimantan.