JERUSALEM 16 Ogos - Parti Republican cawangan Israel mula berkempen semalam untuk memastikan pengundi Amerika Syarikat (AS) yang menetap di Israel membuat undi serahan yang berpihak kepada Donald Trump.

Menurut cawangan Republican di Israel, kira-kira 300,000 rakyat AS layak mengundi dalam pemilihan presiden pada November depan. Mereka menetap di Israel atau penempatan di Tebing Barat dan Timur Jerusalem.

Ketua cawangan luar negara Republican bagi Israel, Marc Zell berkata kempen itu menyasarkan untuk menyalakan semula minat terhadap politik AS dalam kalangan warganegara generasi kedua dan ketiga, ramai mempunyai anak yang layak mengundi kali pertama tahun ini.

“Kami mahu cuba menarik pengundi baharu yang mungkin sebelum ini tidak berminat untuk mengundi dalam pemilihan presiden AS,” katanya.

Tzvika Brot, yang mengetuai kempen itu, menjangkakan kira-kira tiga perempat warganegara AS-Israel akan menyokong parti Republican.