KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pelakon dan penerbit Datuk Yusof Haslam berkata filem Malaysia perlu mencerminkan identiti negara dan oleh itu mesti akur kepada dasar kerajaan supaya ia berbahasa Melayu, melainkan dasar itu diubah.

“Ini tidak ada kompromi, kecuali kalau pihak atasan, menteri atau perdana menteri cakap, ‘tukar, open’,” kata Yusof, yang juga presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, penganjur bersama Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

FFM tahun ini menjadi kontroversi selepas kategori Filem Terbaik dibahagikan kepada filem berbahasa Melayu dan bukan Melayu.

Ini bermakna filem yang mendapat pujian ramai seperti “Ola Bola” oleh Chiu Keng Guan dan “Jagat” oleh Shanjhey Kumar dicalonkan di dalam kategori bukan Bahasa Malaysia, dan tidak dapat bersaing dengan filem Melayu lain.

Keputusan itu mengundang kritikan terhadap PFM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), dengan beberapa pemain industri filem tempatan bertindak memboikot majlis anugerah itu September ini kerana mendakwa pemisahan kategori itu berbaur perkauman.

Pelakon dan pengarah Afdin Shauki berkata beliau tidak akan menghadiri, manakala calon kategori Sinematografi Terbaik, Mohd Noor Kassim menarik diri.

Ia turut mengundang komen Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernades, yang mengkritik penganjur FFM.

Yusof, bercakap pada dialog #tanyaFinas malam semalam, bertegas identiti negara perlu diutamakan, dan beliau tidak sanggup “memperjudikan identiti nasional kita”.

“Bukan sebab saya Melayu, sebab saya duduk dalam sebuah negara yang berpaksikan BM sebagai bahasa kebangsaan, jadi saya kena hormat,” tambahnya.

Yusof turut menjawab dakwaan ada konflik kepentingan antara beliau dan peranannya dalam penganjuran PFM.

Ini kerana dua filem terbitan syarikatnya Skop Productions dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik.

Yusof berkata beliau sanggup melepaskan jawatan presiden PFM bagi menangkis dakwaan tersebut, tetapi mahu terus kekal sebagai ahli jawatankuasa persatuan itu bagi memantau industri filem.

“Saya tak kisah.

“Saya tak mahu orang muda cakap saya ada konflik kepentingan,” kata Yusof merujuk kritikan di media sosial.