Jika sebelum ini Izreen Asminda berang kerana akaun Instagramnya digodam, kini giliran akaun Instagram Adira AF pula digodam pada tengahmalam semalam.

Bertambah kecewa apabila ini bukanlah kali pertama akaun Instagram Adira digodam dan setelah mencipta akaun baru, beliau sekali lagi digodam dan telah kehilangan ribuan pengikutnya di Instagram.

“Kelab peminat yang memaklumkan perkara ini sebaik akaun berkenaan digodam.

"Saya kesal dan terkilan kerana tidak mudah untuk mengumpul pengikut apatah lagi kejadian ini sudah berulang buat kali kedua.

"Saya difahamkan beberapa rakan artis yang lain juga berdepan nasib sama malah ada dikalangan mereka mempunyai jumlah pengikut lebih ramai”

“Bagi saya akaun itu penting kerana ia membolehkan saya mendekati peminat dan begitu juga sebaliknya.

"Instagram ini turut berperanan membantu mempromosikan produk kecantikan milik saya,” katanya kepada Berita Harian Online meluahkan rasa kecewa beliau terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggodam laman sosialnya buat kali kedua.

Sebelum ini, akaun Instagram beberapa selebriti terkenal tempatan seperti Emma Maembong, Jihan Muse, Izreen Azminda dan yang lain-lain turut mengalami situasi yang sama, berikutan dengan kejadian itu mereka telah kehilangan begitu ramai pengikut masing-masing.