KUALA LUMPUR 15 Julai - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengandaikan kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kecederaan dialami pemain semasa sesi latihan skuad kebangsaan baru-baru ini mendorong beberapa pemain Johor Darul Takzim (JDT) mengumumkan persaraan mereka.

Bagaimanapun, katanya beliau akan menghubungi JDT untuk memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan pemilik kelab terbabit.

“Tugas saya ialah mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan TMJ ini supaya dapat diatasi.

“Sekiranya berjaya diatasi kita dapat memilih barisan pemain yang terbaik dalam Piala AFF nanti,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Kecemerlangan Paralimpik, di sini hari ini.

Hari ini, dua lagi pemain pasukan JDT Amirul Hadi Zainal dan S. Kunanlan mengumumkan persaraan mereka menerusi laman web johorsoutherntigers.com.my dan Facebook pagi ini.

Kedua-duanya mengikut jejak langkah Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Safiq Rahim yang mengumumkan persaraan kelmarin.

Khairy berkata persaraan mereka merupakan satu perkara yang serius.

“Saya berharap pemain tempatan menganggap peluang untuk bermain mewakili Malaysia sebagai satu penghormatan yang besar.

“Dan saya harap mereka tak buat keputusan secara terburu-buru, tanpa melihat kepada penghormatan yang datang dengan mewakili negara,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menggesa orang ramai agar tidak cepat menghukum mana-mana pihak berhubung persaraan pemain terbabit daripada pasukan kebangsaan.

“Saya lihat dalam media sosial banyak komen pro dan kontra. Banyak yang memberi komen negatif kepada pemain yang mengumumkan persaraan mereka, dan ada komen negatif terhadap FAM,” katanya.

Khairy berkata pihaknya juga masih ada masa untuk menyiasat dengan lebih mendalam mengenai persaraan pemain itu.