KUALA LUMPUR 14 Julai - Seorang lagi pemain kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil keputusan untuk bersara daripada mewakili pasukan bola sepak kebangsaan atau Harimau Malaysia, hari ini.

S Kunanlan, 29, pemain pertahanan juara Piala AFC 2015 itu membuat pengumuman berkenaan menerusi akaun Facebook rasmi kelab bola sepak terbabit, Johor Southern Tigers, sebentar tadi.

Bagaimanapun dia yang menyertai Harimau Malaysia pada 2008 tidak menyatakan alasan berbuat demikian.

Pada Selasa lalu, kapten pasukan kebangsaan Syafiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Razak mengambil keputusan meninggalkan pasukan Harimau Malaysia dengan alasan ingin memberi laluan kepada muka baru mengambil tempat mereka.

Keputusan mereka itu mengejutkan arena bola sepak tanah air.

Berikut kenyataan penuh Kunanlan yang berasal dari Semenyih, Selangor seperti disiarkan oleh akaun Facebook Johor Southern Tigers:

"Saya dengan ini memutuskan untuk bersara mewakili skuad negara dan penampilan bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Fiji baru-baru ini adalah penampilan terakhir saya untuk aksi perlawanan antarabangsa.

"Saya cukup berbangga dapat menyarung jersi kebangsaan sejak mewakili pasukan Bawah 23 tahun dan sehingga kini.

"Terima kasih diucapkan atas segala sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini dan juga tunjuk ajar yang diberikan. Saya amat menghargainya,".

Selain Syafiq, Aidil dan Kunanlan, terdapat lapan lagi pemain JDT yang menyertai pasukan kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan menerusi program Jelajah Oceania sebelum ini.

Mereka adalah Izham Tarmizi, Junior Eldstal, Mahali Jasuli, Fazly Mazlan, S.Chanturu, Amri Yahyah, Fadhli Shas dan Amirulhadi Zainal.

Mungkinkah ada lagi di antara mereka yang akan turut mengikut jejak tiga pemain berkenaan?