PARIS 11 Julai - Portugal menjuarai trofi antarabangsa utama yang pertama selepas mengejutkan tuan rumah Perancis 1-0 pada perlawanan akhir Euro 2016.

Portugal terpaksa beraksi tanpa kapten pasukan Cristiano Ronaldo akibat kecederaan lutut seawal minit ke-25 perlawanan, selepas dirempuh pemain Perancis, Dimitri Payet pada awal babak pertama.

Namun kehilangan Ronaldo tidak mematahkan semangat Portugal untuk terus beraksi dengan cemerlang dengan mengekang pelbagai serangan Perancis yang menguasai perlawanan.

Antoine Griezmann mempunyai peluang untuk meletakkan Perancis di depan pada minit ke-10 namun tandukannya diselamatkan penjaga gol Rui Patricio.

Patricio sekali lagi menjadi penghalang buat Perancis apabila menyelamatkan rembatan pemain Newcastle United, Moussa Sissoko pada minit ke-34.