NEW DELHI 20 Julai - Timbalan Perdana Menteri percaya kumpulan penculik yang berpangkalan di selatan Filipina mendalangi kehilangan lima kru selepas sebuah bot tunda ditemui terdampar di perairan Dent Haven, Tambisan semalam, demi mendapatkan wang tebusan.

“Setakat ini, tiada tuntutan wang tebusan diterima daripada mana-mana pihak tetapi saya percaya penculikan terbaharu itu didalangi kumpulan sama yang terlibat dalam siri penculikan rakyat Malaysia dan pelancong asing sejak beberapa tahun lepas,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan Bernama hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu yang tiba di New Delhi pada Ahad lalu untuk lawatan kerja tiga hari ke India berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Parti Bharatiya Janata, Ram Madhav dan Menteri Perusahaan Negeri Telengana, K T Rama Rao.

Laporan menyatakan sebuah bot tunda kosong dengan enjinnya masih hidup ditemui terdampar di perairan Dent Haven, Tambisan, Lahad Datu semalam dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, polis tidak menolak kemungkinan lima kru itu menjadi mangsa culik.

Lima kru itu kesemuanya rakyat Malaysia, mereka dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat Tawau dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.

“Kelima-lima kru yang dipercayai diculik tidak dapat dihubungi. Polis sedang menyiasat kes dan kejadian ini,” kata Abdul Rashid pada sidang akhbar hari ini.

Jelasnya, bot tunda yang menggunakan pendaftaran Surudong 3 dengan lima kru menarik sebuah tongkang Surudong 4 dari Sandakan pada jam 8 pagi Ahad lepas dan dalam pelayaran ke Semporna yang dijangka tiba pada jam 5 petang semalam.

Katanya, bot tunda dan tongkang itu adalah milik syarikat tempatan yang beroperasi di Tawau.

Menurutnya, pada jam 2 petang semalam, sebuah bot tunda lain, iaitu Sabah Tug 9 yang dalam perjalanan dari Jeroco Kretam Kinabatangan ke Tawau ternampak bot tunda Surudong 3 dan tongkang Surudong 4 terkandas di beting pasir di perairan laut Dent Haven berhampiran Tambisan dengan enjin masih hidup.

Curiga dengan keadaan tersebut, kapten bot tunda Sabah Tug 9 menghubungi majikannya memaklumkan penemuan itu melalui telefon, sebelum meneruskan perjalanan ke Tawau.

Pada hari sama kira-kira jam 2.35 petang, dua bot laju Pasukan Polis Marin digerakkan ke lokasi penemuan bot tunda dan tongkang tersebut.

Dalam pada itu, Sutini Jamalung, 54, yang merupakan isteri kepada juragan bot itu, Abd Rahim berharap suaminya bersama empat kru dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

Beliau yang mempunyai masalah kesihatan berkata, kali terakhir suaminya menghubungi beliau ialah sekitar jam 8 pagi semalam dan ingin bercakap dengan cucunya, Ameliah Rusli, 4.

“Rahim sangat rapat dengan Ameliah. Boleh dikatakan setiap hari dia menelefon cucunya untuk bertanya khabar,” katanya sambil menambah suaminya bekerja dengan syarikat bot tunda itu kira-kira empat tahun.