SEREMBAN 19 Julai - Pengerusi MyWatch, Datuk Sri R Sanjeevan dihadapkan ke mahkamah di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu pemerasan dan menggaji pekerja asing tanpa pas.

Sanjeevan, 32, yang hadir memakai t-shirt berwarna biru dan berseluar pendek itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen dan Majistret, Seremban.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa dengan sengaja mengambil pekerja asing, M Manivannan yang tidak memiliki pas yang sah pada 22 Jun lalu, jam lebih kurang 10.45 malam di kawasan Plaza Tol Plus Nilai.

Oleh itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.

Timbalan Pendakwaraya, Saiful Hazmi Mohd Saad memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak boleh diikat jamin kerana masih dalam tahanan Poca hingga 31 Julai.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Gobind Singh Deo memohon mahkamah membenarkan tertuduh dibawa ke hospital dan membuat laporan polis berikutan telah dipukul di dalam lokap.

Gobind Singh dalam hujahannya mendakwa anak guamnya itu telah dipukul dan dibelasah polis malah tidak mendapat sebarang rawatan atas kecederaan yang dialami sepanjang dalam tahanan.

Hakim, Fathiyah Mohd Idris kemudiannya membenarkan tertuduh dibawa ke hospital untuk rawatan dan membuat laporan polis.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pemerasan yang dibacakan jurucakap dihadapan Majistret, Nurulfitriza Abd Latiff.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Goh Toh Hon,38, bahawa akan mendedahkan aktiviti penjualan haram yang dikendalikan Goh dan telah mendorong Goh menyerahkan wang tunai bernilai RM25,000, jam lebih kurang 10.45 malam di kawasan Plaza Tol Plus Nilai, pada 22 Jun lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana daripada hukuman itu jika disabit bersalah.

Kedua-dua kes akan disebut semula pada 1 Ogos depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Saiful Hazmi Mohd Saad, Shukor Abu Bakar dan Izwan Ariff Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Gobind Singh Deo, S. Prakash, Ravin Jay Kumar, Haijan Omar.