KUALA LUMPUR 19 Julai - Pengarah, Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP, Datuk Akhbar Satar mendakwa, kumpulan militan IS telah mengisytiharkan perang secara rasmi terhadap Malaysia apabila melancarkan serangan pertama di Puchong, pada 28 Jun lalu.

Beliau berkata, serangan itu juga telah mengubah landskap keselamatan negara apabila ancaman IS yang lazimnya berlaku di luar negara, kini berlaku di negara ini dan tiada siapa menjangka serangan itu dilakukan ketika umat Islam sedang berpuasa di bulan Ramadan.

“Bagi pasukan keselamatan dan perisikan, serangan ini mengejutkan. Pilihan sasaran tidak jelas di pusat bandar atau tempat tumpuan awam yang dilawati pelancong asing dan tiada siapa dapat membayangkan.

“Ini menunjukkan bahawa penyokong IS, orang yang bersimpati dengan IS dan pengganas sudah dapat membaca serta menuruni lokasi sasaran serangan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau juga berkata, serangan di Kelab Malam Movida, Puchong itu merupakan sasaran mudah, kerana ia adalah percubaan pertama, kurang risiko dan kurang usaha bagi pengganas daripada menyasarkan tempat-tempat berkeselamatan tinggi seperti KLCC, Bukit Bintang atau Putrajaya.

“Insiden di Puchong merupakan serangan yang berjaya oleh kumpulan IS. Namun kerja-kerja baik daripada polis Cawangan Khas (Bahagian Anti-Keganasan E8) juga perlu dipuji.

“Selepas serangan itu, mereka dapat mengenal pasti suspek dengan maklumat lanjut. Ini mencerminkan dedikasi, komitmen dan kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu itu,” katanya.