BAYAN LEPAS 13 Julai - Empat sekeluarga mati ditembak di sebuah kilang pemprosesan ayam di kawasan perindustrian Batu Maung di sini awal hari ini.

Mereka ialah Tan Hock Choon, 50, dan pasangannya Tan Saw Sim, 55, serta Chung Wah Tong berumur dalam lingkungan 27 ke 30 tahun dan anak perempuannya berumur dua tahun yang hanya dikenali sebagai Ah Bee.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Razaruddin Hussain berkata kejadian pada pukul 2.55 pagi itu dipercayai bermotifkan wang.

"Kesemua mangsa ditembak menggunakan pistol semi automatik yang dipercayai diperoleh secara haram dan polis menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian itu dilakukan oleh anggota keluarga terdekat yang kemudian melarikan diri dengan sebuah Toyota Hilux milik kilang itu.

Sehubungan itu, polis kini memburu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang menaiki Toyota Hilux dengan nombor pendaftaran PLJ 7392 bagi membantu siasatan kes itu.

Razaruddin berkata Toh dan Tan didapati tidak berkahwin secara sah tetapi telah lama tinggal bersama.

"Polis percaya keluarga si mati mempunyai sedikit masalah dengan suspek dan sering kali bergaduh," katanya.

Seorang pekerja kilang yang hanya ingin dikenali sebagai Chen berkata lelaki terbabit sering datang ke kilang itu meminta wang daripada Tan dan Chung yang mengusahakan kilang berkenaan.

Lim Chee Leong, 53, yang tinggal berhampiran kilang itu berkata beliau tersedar awal pagi tadi apabila terdengar bunyi tembakan dan pada mulanya menyangkanya kejadian rompakan.

"Saya hanya tahu ia kes pembunuhan apabila polis dan orang ramai mula berkumpul di kawasan itu," katanya.

Keempat-empat mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.