IPOH 11 Julai - Seorang pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 10 buah kenderaan di kilometer 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada Ahad, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman bermula pada Isnin hingga Khamis itu dikeluarkan oleh penolong pendaftar mahkamah majistret, Ng Geok Nee dalam prosiding di Mahkamah Majistret Ipoh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Perak Superitenden Wan jamil Wan Chik berkata pemandu bas itu mempunyai sembilan saman tertunggak dengan pelbagai kesalahan trafik sejak 2011 ke 2015.

Siasatan polis juga mendapati bas yang digunakan itu mempunyai 63 saman tertunggak dengan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu, polis mendapati saringan air kencing pemandu adalah negatif dadah dan pihaknya sedang menunggu laporan lengkap dari Puspakom serta Jabatan Kimia mengenai kemalangan itu.

BACA: Bas merempuh 10 kenderaan di Lebuhraya PLUS

Sementara itu, portal The Star melaporkan bas ekspres itu, yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, mengalami masalah teknikal ketika melalui kawasan curam sebelum merempuh 10 buah kenderaan yang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

"Brek bas itu tidak berfungsi dengan baik. Akibatnya bas itu meluncur laju ketika melalui kawasan curam dan melanggar 10 buah kenderaan di hadapannya," kata Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, seperti dilaporkan portal tersebut.