BUKIT MERTAJAM 11 Julai - Tiga lelaki warga Myanmar ditetak mati, manakala seorang lagi parah dalam pergaduhan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Nagasari, Prai di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.35 pagi itu, rumah yang didiami mangsa berusia antara 26 hingga 30 tahun didatangi sekumpulan lelaki menunggang motosikal dan bersenjatakan parang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Razarudin Husain, berkata sekumpulan lelaki itu kemudian menyerang kesemua mangsa dan mengakibatkan tiga maut manakala seorang lagi mangsa sempat melarikan diri.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian itu berpunca daripada pergaduhan yang akhirnya mengakibatkan seorang mati dibunuh di hadapan rumah terbabit manakala dua lagi di dalam rumah.

"Seorang lagi mangsa yang parah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan," katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.