KUALA LUMPUR 14 Julai - DNA politik DAP sentiasa bersifat konfrontasi dengan pemimpinnya akan ‘menembak dahulu sebelum bertanya’ tanpa mempedulikan akibatnya.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, adalah menyedihkan melihat pemimpin muda begitu mudah menerima politik cara lama parti itu yang mengutamakan hasutan, provoksi, kebencian dan memburuk-burukkan orang lain.

“Daripada video satira menjelekkan hinggalah ucapan Hari Raya yang menyakitkan hati, para pemimpin baharu DAP tidak dapat melepaskan diri mereka daripada belenggu LKS-isme,” katanya merujuk kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Hari Raya yang disiarkan dalam akaun Facebook Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, “menghentam keras” dalam politik adalah perkara biasa dan memang diduga, tetapi janganlah sampai merosakkan keharmonian kaum dan agama.

Katanya, pemimpin DAP tidak dapat membezakan perbuatan untuk mendapat markah tinggi dalam politik dengan menghancurkan masyarakat dan mereka dengan jelas melanggar batasan.

“Tidak bolehkah para pemimpin DAP menyuarakan pandangan mereka, tidak kiralah sekuat mana sekali pun, tanpa mengamalkan kekerasan?

“Sudah tentu, boleh. Persoalannya, kenapa mereka tidak berbuat demikian?” soalnya.

Abdul Rahman berkata, sudah tiba masanya rakyat menuntut DAP bersikap lebih bertanggungjawab dan bijaksana.

“Marilah kita beritahu DAP bahawa sekarang 2016, bukan 1966! Para pemimpin muda dan sedang muncul dalam DAP perlu meletakkan perpaduan mengatasi politik partisan. Jika tidak, setiap tindakan pasti akan ada tindak balasnya,” katanya.