KUALA LUMPUR 19 Julai - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said membidas pakatan baharu pembangkang dan menyifatkan pembangkang menukar nama serta rakan politik seperti menukar baju.

Menurutnya, meskipun sudah berkali-kali membentuk pakatan namun sehingga kini pembangkang masih belum mampu menubuhkan kabinet bayangan seperti kebanyakan negara lain.

“Saya pelik dengan pembangkang ni. Dah berapa kali bentuk pakatan, dah berapa kali tukar nama tapi sampai sekarang kabinet bayangan pun tiada. Tukar nama pakatan dan rakan politik macam tukar baju.

“Terbukti, BN juga yang kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat sebab ‘track record’ dan misi perjuangan yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bakal menubuhkan parti politik yang baharu setelah hasrat itu dipersetujui parti pembangkang serta NGO yang dijemputnya untuk berbincang.

Mahathir juga memberitahu pakatan pembangkang itu akan membentuk blok pembangkang yang lebih besar untuk melawan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjangkakan pembangkang tidak mungkin dapat membentuk pakatan yang baik antara mereka gara-gara ideologi yang berbeza.

“Gabungan BN bercakap mengenai dasar-dasar negara dan hala tuju semasa, sementara pembangkang masih tidak mampu pun untuk membuat keputusan berkaitan siapa ahli gabungan atau pakatan antara mereka.

“Namun BN bantu bekerjasama dengan 13 parti komponen di bawahnya kerana punya satu agenda iaitu berkhidmat untuk rakyat. Politik bukan sekadar bentuk sebuah parti tetapi bagaimana anda mampu memberi khidmat kepada rakyat, ini yang mereka tidak faham,” katanya.

Katanya lagi, sejarah telah membuktikan penubuhan Semangat 46 yang dianggotai bekas-bekas ahli mahupun pemimpin Umno telah gagal untuk membawa hala tuju mereka dan akhirnya mereka kembali kepada Umno.

“Hanya parti Melayu yang dianggotai orang Melayu sahaja boleh berjuang untuk orang Melayu.

“Dengan pembentukan, kononnya pakatan baharu, Tun M ni nampaknya dah jadi Ketua Umum yang baru. Bolehkah diterima oleh kedua-dua kartel (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali), (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) atau Lim Kit Siang?,” katanya.