MUAR 18 Julai - Daya ketahanan sesebuah parti baharu itu bergantung kepada matlamat sebenar ia ditubuhkan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

“Kalau parti itu ditubuhkan semata-mata untuk menentang seorang perdana menteri mungkin tidak lama ia dapat wujud,” katanya yang dilaporkan Bernama.

Beliau bagaimanapun berpendapat, penubuhan parti baharu semata-mata untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) merupakan sesuatu yang boleh dianggap baik dalam sebuah sistem demokrasi.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, penubuhan parti baharu itu tidak akan menggugat Barisan Nasional (BN) kerana perjuangan BN adalah jelas dan diterima rakyat sekian lama.

Jelasnya, perpaduan dan kerjasama erat antara parti komponen adalah faktor BN dapat bertahan untuk jangka masa lama.

“BN dapat bertahan lama (memerintah negara) kerana matlamat dan perjuangannya adalah jelas serta diterima majoriti masyarakat di negara ini,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Muar malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada khamis lepas yang mengumumkan akan menubuhkan parti baharu untuk menentang BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Razali menegaskan, BN sentiasa berdepan ancaman dari semasa ke semasa dan setiap kali berdepan PRU.

“Ancaman satu persatu timbul sejak dari awal penubuhan lagi iaitu bermula dari zaman kemerdekaan, zaman komunis, zaman penularan pemikiran sosialis dan kita juga pernah berhadapan pelbagai bentuk masalah seperti bertanding ketika keadaan ekonomi tidak berapa baik, namun apa yang penting adalah kita dapat bertahan,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Pemuda Umno Terengganu juga yakin penubuhan parti baharu itu tidak akan memberi impak besar kepada BN.

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan Dr Mahathir untuk menubuhkan parti baharu itu sebaliknya memberi semangat kepada barisan Pemuda negeri untuk bekerja lebih kuat.

“Beberapa strategi baharu dirangka untuk membela nasib rakyat…pelbagai program dilaksanakan antaranya program turun padang dan program untuk belia yang merangkumi sosial, sukan, kebajikan dan keagamaan,” katanya.