KUALA LUMPUR 15 Julai - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hanya kumpulan yang kecewa dengan kerajaan akan menyertai pakatan baharu yang diwujudkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata penubuhan pakatan berkenaan serta parti baharu tidak akan memberi kesan kepada rakyat mahupun UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Kita tiada halangan untuk mereka yang ingin menubuhkan parti kerana percaya rakyat mampu membuat pilihan bijak mengenai parti yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada negara sejajar amalan demokrasi di negara ini.

"Walaupun (ada) parti baharu ditubuhkan sebelum ini, tapi mereka masih tidak mampu menggugat kekuatan UMNO dan BN kerana rakyat sedar pembangunan di negara kita hasil perjuangan BN," katanya kepada pemberita di majlis Seindah Syawal Seceria Aidilfitri di Wisma FELCRA di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan pakatan baharu dianggotai parti politik pembangkang disertai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara serta mereka yang menentang kerajaan.