ULAANBAATAR 15 Julai - UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak tergugat dengan penubuhan pakatan baharu dianggotai parti politik pembangkang yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kedudukan BN semakin kukuh seperti terbukti pada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar serta Sungai Besar, baru-baru ini.

"Bagaimanapun, kita tak mahu terlalu yakin dan saya sudah maklumkan kepada rakan komponen dan UMNO agar merapatkan barisan untuk menghadapi apa juga cabaran daripada pembangkang atau parti baharu.

"Ini kerana kita mahu memastikan BN terus kukuh dan kekal sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya kepada media Malaysia selepas perasmian Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-11 yang berlangsung dua hari di sini, mulai hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan pakatan baharu dianggotai parti politik pembangkang disertai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara sebagai parti komponen, serta mereka yang menentang kerajaan.

Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan tiada masalah membenarkan penubuhan parti politik baharu, malah mengalu-alukan usaha terbabit.

Pada masa sama, katanya, BN sedia 'menentang' habis-habisan pakatan yang akan ditubuhkan oleh Dr Mahathir sebagaimana tindakan bekas Perdana Menteri itu dalam usaha menewaskan musuh politiknya ketika mengetuai kerajaan.

"Pemimpin berkenaan (Dr Mahathir) ketika menjadi pemimpin mengambil tindakan sama terhadap terhadap musuh politik beliau, ...atas ilmu yang beliau ajar dulu, kita akan melakukan perkara sama," katanya.