PUTRAJAYA 20 Julai - Datuk Seri Najib Razak meminta penjawat awam supaya tidak hilang fokus dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, dalam semua tugas yang dilakukan, rakyat perlu dijadikan tiang seri dan tonggak, serta memberikan tumpuan kepada bidang keberhasilan utama yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, antara bidang penting yang perlu diberi fokus ialah pengangkutan awam, perumahan dan kos sara hidup.

"Alhamdulillah, pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam satu dua hari ini termasuk sambungan LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (Aliran Transit Massa) yang bakal dilancarkan hujung tahun ini dan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang diumumkan semalam, yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Inilah gambar masa depan Malaysia yang bertambah maju," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini. Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri dan Timbalan Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan pegawai tinggi kerajaan.

Najib berkata, isu keselamatan perlu diberikan keutamaan, yang menjadi cabaran besar kepada negara ketika ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melawat 12 gerai makanan yang disediakan jabatan dan agensi di bawah JPM.