KUALA LUMPUR 20 Julai - Ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang diramal berterusan sehingga lewat pagi ini di daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Yan dan Kuala Muda di Kedah dan Pulau Pinang.

Mengikut laman web Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang dikemas kini jam 5.35 pagi tadi, keadaan sama dijangka berlaku di Klang, Kuala Langat dan Sepang di Selangor; Port Dickson di Negeri Sembilan, Melaka dan Muar, Tangkak, Batu Pahat, Johor Bahru dan Pontian di Johor.

"Ribut petir di perairan Johor serta Bintulu dan Miri di Sarawak juga dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini. Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan laut bergelora dengan ombak mencecah sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil.

"Keadaan sama diramal berlaku di perairan Phuket, Selat Melaka Selatan, Bunguran dan Reef South," katanya.

Laman web jabatan itu yang dikemas kini jam 5.30 pagi, bagaimanapun melaporkan tiada sistem Siklon Tropika dicerap di dalam kawasan pemantauan METMalaysia pada Latitud 0-20 Utara dan Longitud 95-130 Timur.