KUALA LUMPUR 14 Julai - Malaysia boleh memainkan peranan sebagai negara yang mencetuskan perbincangan diplomatik di antara China dan negara berkepentingan dalam menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata Malaysia, yang mempunyai hubungan dagang dan diplomatik yang baik dengan China, boleh mempelawa negara kuasa besar itu ke meja rundingan demi kepentingan rantau ini.

"China mungkin agak keberatan untuk berunding menerusi ASEAN kerana adanya negara (anggota ASEAN) yang membawa pertikaian Laut China Selatan ke mahkamah antarabangsa.

"Sebagai rakan dagang yang baik dan mempunyai hubungan diplomatik yang lama dengan China, Malaysia boleh mengetuai proses rundingan diplomatik di antara China dan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian itu," katanya kepada Bernama di sini, pada Rabu.

Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) yang berpusat di The Hague, Belanda pada Selasa memihak kepada Filipina dan memutuskan China tidak mempunyai hak tuntutan berdasarkan sejarah ke atas kawasan perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

PCA juga mendapati tindakan agresif dan pembinaan infrastruktur Beijing di kawasan bertindih itu melanggar kedaulatan Filipina.

Bagaimanapun, China menolak keputusan itu dengan menyifatkannya sebagai satu rekaan semata-mata, malah mungkin bertindak lebih agresif selepas ini untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan maritimnya.

China menuntut hampir seluruh perairan kaya sumber asli itu yang menjadi laluan kapal dengan nilai dagangan kira-kira AS$5 trilion setahun. Malaysia, Brunei, Filipina, Taiwan dan Vietnam turut membuat tuntutan terhadap kawasan itu.

Ahmad Marthada berkata sekiranya Malaysia dapat berbuat demikian, ia pasti dihargai negara-negara kecil yang terlibat dalam pertikaian itu sekali gus mengelak berlakunya konflik berskala besar.

"Ada khabar mengatakan China akan mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara yang membawa perkara itu ke mahkamah antarabangsa. Ini bukan hanya melemahkan ekonomi negara-negara kecil malah, ekonomi rantau ini kerana China merupakan sebuah kuasa ekonomi dunia," katanya.

Ahmad Marthada berkata China juga memainkan peranan penting dalam mengekang ancaman keselamatan termasuk Daesh di rantau ASEAN dengan kekuatan ketenteraannya.

"Kita bimbang pihak militan Daesh akan mengambil kesempatan menyelusup masuk ke negara-negara ASEAN sekiranya berlaku pertelingkahan di antara China dan negara-negara ASEAN," katanya.

Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar juga berkata semua pihak berkepentingan perlu kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan pertikaian itu hingga dapat memanfaatkan mereka.

Rundingan boleh dibuat melalui platform ASEAN + 3 yang melibatkan China, Jepun dan Korea serta Forum Serantau ASEAN yang turut melibatkan Amerika Syarikat.

"Dengan penyertaan kuasa besar lain, ini akan mengimbangi perbincangan dan seterusnya mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak," katanya.

Menurutnya China perlu bersetuju untuk turut serta dalam perbincangan itu kerana keputusan PCA secara asasnya menunjukkan tiada siapa pun mempunyai hak mutlak di Laut China Selatan.