KUALA LUMPUR 12 Julai - Umpan syahid dan dibersihkan dosa adalah kaedah IS menarik minat generasi muda khasnya belia bermasalah dan jahil agama menyertai kumpulan pengganas itu, menurut seorang pakar kajian keganasan.

“Mereka yang menyertai IS adalah orang yang tidak mempunyai pemahaman mendalam tentang agama, menjadikannya lebih mudah untuk mempengaruhi mereka, terutama individu yang kelihatan arif dalam kitab suci Al-Quran,” kata R Paneir Selvam, yang mengetuai Persatuan Penyelidik Undang-undang dan Dasar.

Jelasnya, IS juga berjaya meyakinkan sesetengah umat Islam yang Malaysia menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

“Inilah propaganda IS, menyebarkan mesej Malaysia merupakan lubuk dosa.

“Mereka berjaya meyakinkan sesetengah orang yang kegagalan negara untuk memenuhi harapan mereka, terutama dalam aspek agama, layak digelar lubuk dosa dan tidak harus dikecualikan daripada serangan mereka,” katanya.

Paneir memberitahu FMT, kumpulan pengganas yang berpangkalan di Iraq dan Syria itu tidak sama dengan Al-Qaeda kerana ia tidak berstruktur.

“Dengan hanya satu petunjuk kecil atau mesej daripada pemimpin, anggotanya akan melancarkan serangan dengan segera.

“Mereka juga didorong untuk bertindak bagi saudara Islam yang dibunuh di tempat lain,” katanya.

Untuk memerangi IS, Paneir menyarankan pihak berkuasa melangkaui kaedah konvensional melalui penubuhan sebuah pasukan pakar terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Anda tidak boleh bergantung kepada pakar topik Islam semata-mata. Sama seperti amalan FBI di Amerika Syarikat (Biro Penyiasatan Persekutuan), sebuah pasukan pakar dengan pelbagai disiplin, agama dan kepakaran perlu dibentuk.

“Ini perlu supaya mereka mempunyai gambaran lebih lengkap dan pemahaman terhadap masalah ini untuk mencari penyelesaian baru di luar kotak,” kata pensyarah Universiti Help itu.

Seorang anggota IS warga Malaysia, Mohd Rafi Udin, baru-baru ini mengancam melancarkan serangan ke atas rakyat Malaysia, termasuk “memenggal leher” anggota polis di Bukit Aman, menerusi rakaman video pada 21 Jun lalu.

Pada 28 Jun, sebuah pub di Puchong diserang dengan bom tangan, mencederakan lapan pengunjung.

Polis kemudian mengesahkan ia adalah serangan pertama IS di Malaysia.